Pageviews past week

Monday, June 27, 2011

Forum Israk Mikraj 2011

Assalamualaikum,
   Forum Isra' Mikraj Selasa ini di Surau Al Amin , Bandar Tun Hussein Onn Cheras, sebarkan.

Tarikh : 28 Jun 2011
Masa : 9.00 malam @ Selepas Solat Isya'
Panel : Dr Jamnul Azhar Mulkan,
           Ust Syed Norhisyam Al Idrus
Moderator : Ust Wan Jemizan
Lokasi : Jalan Suasana 3/3, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras
Lokasi Google Map

Jamuan di sediakan selepas solat maghrib

UCAPTEMA AGM ke 15 SAA 2011

MESYUARAT AGUNG SURAU AL AMIN KALI KE-15, TAHUN 2011

UCAPTEMA 2011
PENGERUSI
SURAU AL AMIN

“ISTIQAMAH MEMPERTAHAN KEBENARAN”

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

MUQADDIMAH

Muslimin dan muslimat, Ahli Qariah Surau Al Amin yang dirahmati Allah,

Pertamanya, marilah kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah s.w.t atas limpah kurnia dan nikmatNya yang tidak terhitung ke atas kita. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, pemimpin agung yang membawa sinar rahmat ke sekalian alam.

Keduanya, saya ucapkan ahlan wa sahlan wa marhaban bikum, selamat datang dan selamat bermesyuarat kepada semua Ahli Qariah, Muslimin-Muslimat yang hadir pada malam yang penuh mulia ini untuk mengikuti kelangsungan Mesyuarat Agung Tahunan Surau Al Amin Kali Ke-15 Tahun 2011.

Seterusnya, marilah kita dengan penuh yakin memohon ke hadrat Allah s.w.t. akan fadhilat dan pahala yang berlipat ganda, berkat kelebihan memakmurkan rumah Allah s.w.t. yang kita kasihi ini.

ISTIQAMAH DAN KEBENARAN

Hadirin dan hadirat sekalian,

Perkara yang amat sukar dalam hidup ini adalah istiqamah atas kebenaran. Istiqamah bermaksud berpendirian teguh atas jalan yang lurus, berpegang pada aqidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah dan berpaling walau dalam apa-apa keadaan sekalipun.

Sifat yang mulia ini menjadi tuntutan Islam seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya yang bermaksud:

“Katakanlah (Wahai Muhammad ): Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepada Aku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang satu; maka hendaklah kamu teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredhaanya)..” (Al-Fussilat: 6)

Di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Sufyan bin Abdillah r.a. pernah bertanya Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah, beritahuku dalam Islam ini satu perkataan yang aku tidak perlu bertanya sesiapa selain engkau”. Jawab Nabi s.a.w: “Katakan: Aku beriman dengan Allah, kemudian kamu beristiqamahlah”.

ILMU ASAS ISTIQAMAH

Sidang Mesyuarat yang dikasihi,

Marilah kita merenung firman Allah s.w.t yang bermaksud,

“… dan berdoalah dengan berkata: Ya Tuhanku, tambahilah padaku ilmu pengetahuan.” (Taha: 114).

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan kefahaman pula hanya didapati dengan mendalaminya, sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan pada dirinya, diberikan kefahaman yang mendalam di dalam urusan agama". (Riwayat Tabrani).

InsyaAllah, mengambil ‘ibrah daripada peringatan di atas, Surau Al Amin akan istiqamah meneruskan kesinambungan majlis ilmu, dengan kehadiran ulama’ dan guru agama yang berwibawa, untuk bimbingan berkaitan persoalan aqidah dan hukum, serta kupasan kontemporari berkenaan persoalan isu semasa.

Adalah diharapkan agar kita semua istiqamah merebut peluang ini untuk mengutip mutiara hikmah yang disampaikan di dalam majlis-majlis ilmu yang dianjurkan, hadir bersama ahli keluarga dan jiran tetangga, dalam usaha meningkatkan kefahaman kita dalam agama Islam secara syumul (menyeluruh) dan benar. Pihak Surau Al Amin turut mengalu-alukan sebarang pandangan dan cadangan ke arah penambahbaikan penganjuran majlis-majlis ilmu, khususnya dalam aspek kualiti penyampaian dan silibus pengajian.

UKHUWWAH MEMPERTEGUH ISTIQAMAH

Sidang Ikhwah sekalian,

Marilah kita memperkukuhkan dan merapatkan saf serta mengeratkan ukhuwwah fiLLah di kalangan ahli qariah dalam memenuhi tuntutan Allah s.w.t, sebagaimana firmanNya:

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam sesama orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang”. (Al-Hasyr: 10)

Amatlah besar hati saya untuk mengajak semua ahli qariah menghargai dan menghormati sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan oleh golongan terdahulu (As-Sabiqunal Awwalun), khususnya yang ikhlas dan gigih membangunkan dan meng’imarahkan Surau Al Amin sehingga ke tahap ini. Jazakumullahu khairan kathiraa.

InsyaAllah, Surau Al Amin terus komited untuk mempergiatkan aktiviti berunsur kebajikan dan kemasyarakatan dalam usaha mengeratkan ukhuwwah dan silaturrahim di kalangan ahli qariah dan membela kebajikan golongan yang memerlukan.

Kita juga tetap komited dalam usaha menjalin kerjasama dengan semua pihak ke arah kebaikan dan kebenaran, serta menghargai hubungan baik yang dijalin bersama, khususnya pihak Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Nazir dan Pegawai Agama Islam Daerah, Jawatankuasa Penduduk BTHO (JKP), Badan Khairat Kematian BTHO, Rukun Tetangga, RELA, Parti Politik & NGO yang berdaftar, Badan Kejiranan dan Surau-Surau berdekatan.

PENUTUP

Akhirul kalam, saya mewakili saf kepimpinan Ahli Jawatankuasa Surau Al Amin Bandar Tun Hussein Onn Sesi 2010/2013 ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh ahli qariah di atas kerjasama, cadangan dan sumbangan yang dihulur dalam menjayakan usaha imarah rumah Allah ini.

Kami memohon kepada Allah s.w.t. untuk membantu kami menggalas amanah ini dan memohon maaf atas segala kesilapan dan kekurangan kami. Semoga Allah memberi ganjaran kepada kita semua sebagai hambaNya yang ikhlas, dan semoga kita diberikan kekuatan untuk tetap Istiqamah Mempertahan Kebenaran.

Seterusnya, dengan penuh tawadhu’, saya dengan ini merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Surau Al Amin Kali Ke-15 Tahun 2011 dengan sama-sama kita membaca Ummul-Kitab, “Al – Fatihah”.

Mudah-mudahan segala amal soleh ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah s.w.t. di akhirat kelak.

Selamat Bermesyuarat

Wa billahi tawfiq wal hidayah

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

Hj Aminudin Afip
Pengerusi, Surau Al Amin

15 Rejab 1432 / 17 Jun 2011