Pageviews past week

Friday, August 6, 2010

Bantahan terhadap arak, judi dan fun-fair berjaya diselesaikan dalam suasana muafakat.


Hasil bantahan semua pihak, isu penjualan arak secara terbuka di premis Carrefour Bandar Tun Hussein Onn dan penganjuran pesta fun-fair yang mengandungi unsur-unsur judi dan pergaulan bebas berjaya diselesaikan dalam suasana muafakat dan harmoni.

Pada peringkat awalnya, pihak Surau Al Amin (SAA), Bandar Tun Hussein Onn menerima aduan sebahagian besar ahli qariah yang tidak selesa dengan beberapa perkara yang berlaku di premis Carrefour Bandar Tun Hussein Onn, antaranya:

  1. Penjualan arak secara terbuka;
  2. Penglibatan staff beragama Islam dalam urusan logistik,pengendalian dan penjualan arak; dan
  3. Penganjuran pesta fun-fair yang mengandungi unsur-unsur judi dan pergaulan bebas.


Pihak SAA kemudiannya, bersama-sama beberapa surau sekitar Bandar Tun Hussein Onn membentuk sebuah pakatan yang dinamakan "Jawatankuasa Gabungan Surau" untuk membantah isu ini. Surau-surau tersebut ialah:

  1. Surau Al Amin, Bandar Tun Hussein Onn,
  2. Surau Al Ansar , Bandar Tun Hussein Onn
  3. Surau Al Siddiq, Bandar Tun Hussein Onn
  4. Surau Nurul Iman, Taman Minang
  5. Surau Al Muklisin, Desa Baiduri
  6. Madrasah Cheras Perdana

PIhak Jawatankuasa Penduduk Bandar Tun Hussein Onn (JKP BTHO) turut mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan permasalahan ini.

Asas bantahan pihak Jawatankuasa Gabungan Surau dan JKP BTHO adalah seperti berikut:

  1. Mencemar kesucian agama Islam dan ketibaan bulan Ramadhan yang mulia;
  2. Bertentangan dengan agenda kerajaan Malaysia dalam inisiatif NKRA untuk mengurangkan kadar jenayah dan masalah moral di kalangan masyarakat; dan
  3. Bertentangan dengan agenda kerajaan Selangor untuk membentuk Selangor Sejahtera.


Kronologi isu ini diringkaskan seperti di bawah:

Mei 23

Pihak SAA menerima bantahan dari jemaah tentang penjualan arak secara terbuka di Carrefour. Ini menimbulkan rasa tidak selesa, khususnya kepada golongan keluarga yang datang membeli-belah.

Julai 26

Pertemuan rasmi diadakan di antara pihak Jawatankuasa Gabungan Surau dan JKP BTHO dengan pihak Careffour. Surat bantahan rasmi diserahkan. Antara yang dipersetujui:

  1. Pihak Carrefour berjanji tidak akan mempamerkan arak secara terbuka
  2. Tidak membenarkan pekerja Islam mengendalikan arak
  3. Menamatkan operasi fun-fair di premis Carrefour

Tempoh 7 hari diberi untuk pihak Carrefour bertindak (tempoh tamat pada 2 Ogos 2010)

Julai 30

Agen fun-fair, Encik Khalid, bertemu dengan Pengerusi SAA untuk merayu supaya tempoh operasi fun-fair dilanjutkan. Pengerusi tidak dapat membuat keputusan kerana ia adalah keputusan bersama Jawatankuasa Gabungan Surau.

Ogos 3

pagi

Surat susulan kepada MPKJ untuk membantah operasi fun-fair di Bandar Tun Hussein Onn diserahkan. Pihak SAA dimaklumkan, antara syarat lesen operasi fun-fair tersebut ialah, jika ada bantahan penduduk, lesen itu akan dibatalkan serta merta.

Ogos 3

Lepas isya'

Pihak Jawatankuasa Gabungan Surau mengatur satu lawatan ke tapak fun-fair di premis Carrefour. Hampir 60 ahli qariah melawat kawasan fun-fair untuk melihat sendiri permainan berunsur judi & lucah yang terdapat d situ. Mereka turut mengambil peluang menasihatkan pengunjung akan keburukan judi (betting game). Alhamdulillah, pengunjung memberi respon yang baik dan dan setengahnya beredar dari kawasan tersebut. Wakil Jawatankuasa Gabungan Surau dan JKP BTHO membuat pertemuan dengan pengusaha fun-fair. Pihak pengusaha fun-fair meminta notis penutupan ditangguhkan sehingga 8 Ogos, tetapi wakil surau tidak dapat berkompromi kerana sudah memberi tempoh 7 hari yang lalu.

Ogos 4

Pertemuan di antara wakil Surau Al Amin, pihak Carrefour dan MPKJ diatur. Pengusaha fun-fair turut dipanggil oleh pegawai perlesenan MPKJ.Keputusan dicapai: MPKJ mengarahkan operasi fun-fair dihentikan serta-merta pada 4 Ogos.

Pihak Surau Al Amin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak, khususnya kepada ahli qariah yang prihatin dan cakna tentang kemungkaran yang berlaku, juga kepada gabungan surau-surau yang terlibat serta pihak JKP BTHO yang proaktif menyelesaikan isu ini dengan baik.

Semoga usaha ini diberkati oleh Allah s.w.t dan dikira sebagai amal soleh yang membawa manfaat

6 comments:

  1. Tahniah, setiap kerja baik akan dipermudah diberkati Allah.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah..masih ada masyarakat Islam prihatin. Moga usaha sebegini dapat diteruskan lagi bagi memakmurkan bumi Allah..

    ReplyDelete
  3. Tahniah. Boleh dijadikan asas kepada organisasi masyarakat yang lain dalam menghadapi masalah serupa.

    ReplyDelete
  4. Jazakallahu khairan khatira.... tanpa keizinan Allah & sokongan masyarakat bantahan ini tidak akan menjadi... sama2 kita berdoa dan berusaha

    ReplyDelete
  5. respek lah, pas + pekida pun tak mampu...

    ReplyDelete
  6. السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
    Apabila sebut pasal dakwah, bukan mesejnya dalam bentuk ceramah perdana, forum perdana, kuliah dll.. dakwah luas bidangnya yang meliputi seluruh kehidupan ... jumpa face to face .. berbual, berbincang, berdiskusi dan memperjelaskan keindahan Islam dan cara hidup Islam ... semua individu Islam yang beraqal, mukallaf dan baligh wajib sampaikan mesej dakwah kepada siapa saja. Tanggungjawab ini harus dipikul semua pihak. Lagi berat tanggungjawab ialah pihak berkuasa yang diberikan amanah. Yang lebih berat dan berdosa besar ialah pekerja Islam yang berada di bahagian kaunter jualan/bayaran. 10 perkara berkaitan dengan arak adalah dosanya sama besar daripada pemunum hingga penjual. Orang Islam tidak boleh berurusniaga jualan arak, walaupun dijualnya kepada orang bukan Islam. Perlu diberikan penjelasan kepada pekerja islam dan pengusahanya. Jualan arak hanya diuruskan oleh orang bukan Islam di bahagian kaunter khas.

    ReplyDelete